BATIK BLOK
Batik ialah salah satu bidang kraftangan tradisional yang terkenal di Malaysia. Ia dihasilkan melalui proses penerapan lilin dan pencelupan warna. Sejarah perkembangan batik di Malaysia dipercayai bermula pada abad ke 15 Masehi. Perkembangan awal memperlihatkan kesan dan pengaruh batik daripada jawa. Mulai tahun 1930-an hingga selepas Perang Dunia Kedua, perusahaan batik di Malaysia telah berkembang dengan pesat. Para pengusaha batik di negeri-negeri Kelantan dan Terengganu merupakan perintis kepada perkembangan batik di negara ini. Hasil-hasil batik tempatan tinggi mutu ciptaan dan rekacoraknya. Ini melambangkan satu kemahiran kerjatangan yang kreatif di kalangan pembuat-pembuat batik tanah air. Daya tarikan batik bukan sahaja terkenal di kalangan penduduk tempatan malah ia turut mendapat sambutan dari pelancong-pelancong asing yang datang dari luar negeri.
Di Malaysia, batik dihasilkan melalui beberapa teknik, proses dan gaya tertentu, Salah satu teknik ialah Batik Blok. Di Pantai Timur ia lebih dikenali sebagai Batik Cap atau Batik terap. Proses awal dalam perkembangan membuat Batik Blok adalah menggunakan ukiran sarang blok kayu untuk mengecap sejenis bahan pewama hitam semulajadi. Teknik awal ini dipanggil ‘Terap Hitam’. Pada tahun 1920-an, penggunaan lilin di dalam proses penerapan mula diperkenalkan oleh pembuat batik di Pantai Timur.Sejajar dengan itu, blok-blok yang diperbuat daripada kepingan keluli mula mengambil alih tugas blok kayu sebelumnya. Corak-corak blok keluli ini lebih kemas dan halus buatannya. Blok-blok khas disediakan untuk menerap lilin pada bahagian Kepala Kain, Kapit Kain dan Badan Kain.
Kegunaan Kain Batik Blok
Kain Batik Blok merupakan kegemaran penduduk tempatan. Ianya dijadikan sebagai kain batik sarung dan batik ela. Selain dijadikan pakaian, kain batik ela boleh diubahsuai untuk menghasilkan kain cadar, langsir, alas tilam, sarung kusyen, sarung bantal, beg tangan dan berbagai-bagai jenis barang kegunaan seharian yang indah dan cantik.
Motif dan Rekacorak Hiasan
Motif-motif yang sering digunakan pada kain batik blok adalah berupa corak tumbuh-tumbuhan dan bunga-bunga tempatan seperti Bunga Mawar, Bunga Orkid, Bunga Cengkih, Bunga Cina, akar-akar menjalar, paku-pakis dan corak-corak geometrik terutamanya motif Pucuk Rebung. Motif-motif ini pula diterapkan dalam berbagai susunan dan tataletak, seperti melintang, tegak, serong, tompok-tompok dan susunan batu-bata.
Sunday, November 1, 2009
BATIK BLOK
Posted by ALBERT at 7:52 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment